gravatar

Tentang Ilmu Musthola'atul Hadits

1. Pendahuluan

· Selayang pandang sejarah pertumbuhan ilmu mustalah dan peringkat-
peringkatnya
· Tulisan-tulisan yang terkenal
· Definisi-definisi asas


1.1 Selayang Pandang Sejarah Pertumbuhan Ilmu Musthola'ah dan Peringkat-peringkatnya
Seorang penyelidik dapat mengamati asas-asas dan prinsip-prinsip periwayatan dan nukilan cerita ada di dalam al-Quran dan al-Sunnah.
Al-Quran menyebutkan: ‬
Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa berita, maka periksalah dengan teliti.”
 

Al-Sunnah pula mengatakan: ‬
Semoga Allah menyinari seseorang yang mendengar sesuatu hadis daripada kami lalu dia menyampaikannya mengikut apa yang didengari. Maka betapa ramai orang disampaikan berita itu lebih menjaganya daripada orang yang mendengarnya” (Riwayat al-Tirmizi, Tuhfah al-Ahwazi 7/453).


Di dalam riwayat yang lain pula disebutkan: ‬
Alangkah banyaknya orang yang membawa fiqh kepada orang yang lebih memahami daripadanya. Dan betapa banyak orang yang membawa fiqh tetapi ia bukan seorang faqih.” (Abu Daud, Aun al-Ma’bul 10/54).


Di dalam potongan al-Quran dan hadis ini, terdapat prinsip kepastian dalam menukilkan cerita, cara-cara menjaganya dan berhalus serta teliti di dalam menyampaikannya, terutamanya apabila ragu-ragu tentang kebenaran penyampaiannya. Daripada sinilah jelas kepada kita tentang kepentingan dan nilai sanad dalam penerimaan dan penolakan riwayat.
Di dalam muqaddimah “Sahih” nya, Imam Muslim menukilkan kata-kata Ibn Sirin, “ Tidak pernah ulama bertanyakan tentang sanad. Tetapi apabila berlaku fitnah, mereka berkata: Sebutkan kepada kami tokoh-tokoh kamu. Lalu dilihat kepada ahli sunnah maka diambil riwayat mereka kemudian dilihat pula kepada ahli bid’ah lalu tidak diambil riwayat mereka”



Berdasarkan kepada prinsip ini, riwayat tidak boleh diterima kecuali setelah diketahui sanadnya, maka muncullah ilmu al-Jarh wa al-Ta’dil, perbincangan terhadap perawi, pengetahuan tentang sanad muttasil (bersambung) dan munqati (terputus) dan pengetahuan tentang kecacatan yang tersembunyi. Kemudian muncul pula perbincangan tentang para perawi tetapi tidak banyak kerana tidak ramai perawi-perawi yang ditajrihkan pada peringkat awal. Kemudian ulama meluaskan perbincangan ilmu-ilmu tersebut sehingga muncul banyak ilmu yang berkaitan dengan hadis dari sudut penjagaan, catatan, method (kaedah) penerimaan dan penyampaian, pengetahuan tentang nasikh dan mansukh, perkataan
yang sukar (gharib) dan sebagainya. Walaubagaimanapun semuanya itu disentuh oleh para ulama secara lisan. Perkembangan terus berlaku sehinggalah ilmu-ilmu yang berkaitan dengan hadis ini dicatat dan dibukukan tetapi masih lagi berselerak di dalam pelbagai kitab dan bercampur dengan ilmu-ilmu yang lain seperti ilmu usul, fiqh dan hadis.


Ini dapat dilihat di dalam karya Imam Syafii di dalam al-Risalah dan Al-Umm. Setelah ilmu-ilmu ini matang dan istilah-istilahnnya kemas serta dapat berdiri sendiri iaitu pada abad ke empat Hijrah, ulama telah menyusun secara berasingan ilmu mustalah hadis. Ulama pertama yang menulis secara terpisah penulisan mustalah hadis dalam kitab yang khusus ialah Muhammad al-Hassan al Ramahurmuzi (meninggal 360H) dengan kitabnya “al-Muhaddith al-Fasil Baina al-Rawi wa al-Wa’iy”.


2.2 Karangan-karangan yang Terkenal di dalam Ilmu Mushola'ah
  1. Al-Muhaddith al-Fasil Bayu al-Rawi wa al-Wa’iy Kitab ini ditulis oleh al-Qadhi Muhammad al-Hassan bin Abdul Rahman bin Khallad al-Ramahurmuzi (wafat 360H), tapi beliau tidak meliputi kesemua perbahasan mustalah hadis. Senario begini biasanya berlaku kepada orang yang mula-mula merintis dalam menulis mana-mana ilmu.
  2. Ma’rifah ‘Ulum al-Hadith Penulisnya Abu Abdullah al Hakim al-Nisaburi (wafat 405H). Kitab ini meliputi 52 jenis ilmu hadis bagaimanapun ia tidak tersusun mengikut tertib ilmu mustalah.
  3. Al-Mustakhraj ‘ala Ma’rifah ‘Ulum al-Hadith Ditulis oleh Abu Nu’aim Ahmad bin Abdullah al-Asfahani (wafat 430H). Beliau menambah beberapa kaedah yang tidak disebutkan oleh al-Hakim. Dalam pada itu masih ada beberapa fasal yang tertinggal yang mungkin dapat ditambah oleh orang lain.
  4. Al-Kifayah Fi ilm Al-Riwayah Karangan Abu Bakar Ahmad Bin Ali Bin Thabit Al-Khatib Al-Baghdadi (W463). Sebuah kitab yang lengkap dengan permasalahan-permasalahan ilmu mustalah yang telah disaring, menjelaskan kaedah-kaedah periwayatan dan diakui sebagai sumber utama ilmu ini.
  5. Al-Jami’ Li Akhlaq Al-Rawi Wa Adab Al-Sami’ juga ditulis oleh AL-Khatib Al Baghdadi. Ia membincangkan etika periwayatan sebagaimana jelas tertera pada tajuknya. Kitab ini merupakan rujukan yang unik dalam masalah ini dan sangat bernilai dari segi kajian-kajian dan bahan-bahannya atau kandungannya. Sangat sedikit sekali bidang-bidang ulum hadis yang tidak ditulis oleh beliau melainkan ada karangan yang berasingan tentangnya. Benar sekali kata-kata Al-Hafiz Abu Bakar Bin Nuktah: “Setiap orang yang adil pasti mengetahuii bahawa semua muhaddithin selepas beliau adalah bergantung kepada kitab-kitabnya.”
  6. Al-Ilma‘ ila Ma’ rifah usul Al-Riwayah Wa Taqyid Al-Sama’ ditulis oleh Qadhi Iyad Bin Musa Al-Yahsub ( w 544 ) kitab ini tidak meliputi kesemua perbahasan ilmu mustalah tetapi hanya berkaitan dengan kaedah penerimaan dan penyampaian hadis serta cabang-cabangnya. Kitab ini sangat baik dalam bab ini dan mempunyai susunan yang indah.
  7. Ma La Yasa’ al-Muhaddith JahluhDitulis oleh Abu Hats Umar bin Abdul Majid al-Mayanaji (W 580H). Ia merupakan satu risalah yang ringkas.
  8. ‘Ulum al-Hadith Karangan Abu ‘Amr Uthman bin Abdul Rahman Shahrazuri yang lebih dikenali dengan Ibn al-Salah (W643). Kitab ini sangat terkenal dan merupakan antara kitab-kitab yang terbaik dalam ilmu mustalah. Pengarangnya menghimpunkan perbahasan-perbahasan yang terselerak di dalam karangan-karangan al-Khatib al Baghdadi dan ulama sebelumnya. Kitab ini penuh dengan fakta-fakta penting cumanya ia tidak tersusun dengan rapi. Ini kerana pengarang mendiktekan satu demi satu kepada pelajar-pelajar beliau. Ia telah diringkaskan, dinazamkan,dikritik dan juga disokong.
  9. Al-Taqrib wa al-Taysir Li Ma’rifah Sunan al-Basyir al-Nazir Ditulis oleh Muhyi al-Din Yahya bin Syaraf al-Nawawi (W676). Kitab ini merupakan ringkasan kepada kitab “`Ulum Hadith Ibn Salah”. Kitab ini sangat baik namun kadang-kadang terdapat frasa-frasa yang sukar difahami.
  10. Tadrib al-Rawi Fi Syarh Taqrib Al-Nawawi Ditulis oleh Jalaluddin Abdul Rahman bin Abi Bakr al-Suyuti (W 911) merupakan ulasan kepada karangan “Taqrib” al-Nawawi. Pengarangnya mengumpul pelbagai fakta penting yang berguna. 
  11. Fath al-Mughith Fi Syarh Alfiyah al-Hadith Ditulis oleh Muhammad bin Abdul Rahman (W902) merupakan penjelasan kepada “Alfiyah al-Iraqi”. Ia huraian yang paling lengkap dan baik bagi “Alfiyah”.
  12. Nukhbah al-Fikar Fi Mustalah Ahl al-athar Karangan al-Hafiz Ibn Hajar al-`Asqalani (W 852). Sebuah risalah yang terlalu ringkas tetapi sangat baik dan bermutu. Pengarang telah mencipta dan pembahagian yang baru yang tidak pernah ada sebelum ini . Beliau sendiri menghuraikannya dengan diberi nama “Nuzhah al-Nazar” dan kitab ini juga telah diberi penjelasan oleh ulama lain.
  13. Al-Manzumah al-Bayquniyyah Disusun oleh Umar bin Muhammad al-Bayquni (W 1030). Ia merupakan nazam yang sangat ringkas tidak melebihi 34 bait dan baik. Ia telah dihuraikan dengan banyaknya oleh ulama.
  14. Qawa’id al-Tahdith Disusun oleh Muhammad Jamaluddin al-Qasimi (W 1332) merupakan karya yang sangat bermutu. Di samping itu terdapat banyak lagi kitab-kitab lain untuk disebutkan dan penulis hanya menyebutkan yang masyhur sahaja. Semoga Allah s.w.t memberi ganjaranNya kepada kita semua.
  15. Nazm al-Durar fi ilm al-Athar Pengarang ialah Zainuddin Abdul banyak bin   Al-Husain al-Iraqi (W  806) ungkapan-ungkapan syair ini terkena dengan  “Alfiyah al-Iraqi”. Beliau telah menazamkan kitab “`Ulum Hadith Ibn Rahim Salah” dengan membuat beberapa tambahan. Ia sangat baik dan mempunyai fakta-fakta penting dan ditulis beberapa ulasan. Antaranya dua ulasan yang disusun oleh pengarang sendiri (Fath al-Mughith- al-Iraqi)
2.3 Definisi-definisi Asas


1. Ilmu al-Mustalah:
Ilmu tentang prinsip-prinsip dan kaedah untuk mengetahui keadaan sanad dan matan dari segi penerimaan dan penolakan.
2. Subjeknya:
Sanad dan matan dari segi penerimaan dan penolakan.
3. Faedahnya: membezakan di antara hadis yang sahih daripada hadis yang bermasalah.
4. Al-Hadith
Dari sudut bahasa: yang baru, ahadith merupakan kata jama’nya yang dibuat
dengan tidak mengikut kaedah qias.
Dari segi istilah: Perkara yang disandarkan kepada Rasulullah s.a.w. dalam
bentuk ucapan, perbuatan, pengakuan atau sifat.
5. Al-Khabar
Dari segi bahasa bermaksud berita, jama’nya akhbar. Dari segi istilah ada
tiga pendapat:
a) Ia adalah sinonim dengan al-Hadith dari segi istilah.
b) Antonim dengan al-hadith iaitu al-hadith ialah perkara yang datang daripada Rasulullah s.a.w. manakala al-Khabar datang daripada orang lain.
c) Lebih umum daripada al-Hadith iaitu al-Hadith sesuatu yang berpunca k daripada Rasulullah s.a.w. sedangkan al-Khabar berpunca daripada Rasulullah s.a.w. dan juga orang lain.
6. Al-Athar
Dari sudut bahasa bererti baki sesuatu benda.
Manakala dari segi istilahnya ada dua pendapat:
a) Sinonim bagi al-Hadith
b) Antonim bagi al-hadith iaitu al-Khabar ialah sesuatu yang disandarkan kepada sahabat dan tabi’in sama ada ucapan atau perbuatan.
7. Al-Isnad: Mempunyai dua pengertian iaitu,
a) Menyandarkan hadis kepada pengucapnya dengan secara bersanad.
b) Turutan perawi-perawi yang sampai kepada matan.
8. Al-Sanad
Dari segi bahasa bermaksud yang dipegang dinamakan begitu kerana hadis itu disandarkan kepada al-Sanad dan berpegang kepadanya. Dari segi istilah bermaksud turutan jaluran perawi-perawi sehingga sampai kepada matan.
9. Al-Matn (Matan)
Dari segi bahasa ia bererti tanah yang keras dan tinggi. Manakala dari segi istilah ia bermaksud ucapan yang menjadi tempat yang berakhirnya sanad.
10. Al-Musnad
Dari segi bahasa ia bermaksud kata nama objek dari asnada `al-syai` ilayhi’ dengan erti menyandarkan dan menisbahkan.
Dari segi istilahnya ia mempunyai tiga makna:
a) Setiap kitab yang terkumpul padanya riwayat-riwayat semua sahabat secara berasingan.
b) Al-Hadith al-marfu’ yang bersambung sanadnya atau yang sanadnya bersambung.
c) Semakna dengan sanad atau dengan erti sanad dengan itu adalah al-
musnad masdar mimi( masdar yang dimulakan dengan huruf mim).
11. Al-Musnid
Seorang yang meriwayatkan hadis dengan bersanad sama ada dia memahaminya atau semata-mata meriwayatkan.
12. Al-Muhaddith
Seorang yang melibatkan diri dalam ilmu hadis riwayah dan dirayah dan mengetahui kebanyakan riwayat-riwayat hadis serta mengenali keadaan perawi-perawinya.
13. Al-Hafiz
Ada dua pendapat
a) Semakna dengan Al-Muhadith. Ini mengikut kebanyakan ahli-ahli hadis.
b) Seorang yang lebih tinggi kedudukan daripada al-Muhadith iaitu
pengetahuannya terhadap riwayat dalam setiap tabaqat lebih banyak
daripada yang tidak diketahuinya.
14. Al-Hakim
Seorang yang ilmunya yang meliputi kesemua hadis sehingga tidak terlepas daripadanya kecuali beberapa hadis sahaja. Ini mengikut sebahagian ulama.




Penyampaian ilmu Mustholatul Hadits atau di sebut juga ilmu Ushulul Hadits ini adalah hanyasebagai pengantar aja, bagi antum sekalian hendaknya merujuk kitab-kitab Mustholaah yang ada terutama penjabaran mengenai definisi-definisi asas dan majlis ilmu Musthola'ah Hadits.